Muhammad Fathi Yusof, Mohd Al-Ikhsan Ghazali, Sakirin Alias dan Ubaid Abdul Akla

 

 Tulisan ini telah diterbitkan secara bercetak dalam ‘Book Chapter’ berjudul Islam, Demokrasi dan Pilihan Raya. Petikan rujukan (citation) adalah seperti berikut: Muhammad Fathi Yusof et al. 2017. “Konsep Kerajaan Sementara Dalam Amalan Demokrasi di Malaysia.” In: (Editor Muhammad Fathi) Islam, Demokrasi dan Pilihan Raya. UTM Press. Pp. 41-53.

 

PENDAHULUAN

Konsep kerajaan sementara atau lebih dikenali sebagai caretaker government merupakan satu konsep yang penting bagi memastikan pilihan raya terlaksana secara adil dan bebas. Setiap kali berlaku pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU), pasti ada pihak-pihak tertentu yang menyuarakan betapa pentingnya melaksanakan konsep kerajaan sementara. Bahkan tuntutan berkaitan kerajaan sementara ini pernah menjadi kes mahkamah. Manakala beberapa bulan sebelum PRU ke 13 baru-baru ini, pihak jawatan kuasa parlimen telah mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan kod etika tata laku dalam masa 3 bulan bagi pelaksanaan kerajaan sementara. Namun, sehingga kini belum ada tindakan yang konkrit bagi melaksanakan hasrat ini. Hakikat ini menjadikan soal kerajaan sementara terus menjadi perbahasan ramai pihak.

Bab ini bertujuan untuk menyorot konsep kerajaan sementara, tujuannya, serta kesesuaian pelaksanaannya di Malaysia. Kajian ini juga melihat dari sudut peranan yang boleh dimainkan oleh SPR dalam menjayakan konsep kerajaan sementara. Kajian ini dibuat berasaskan kepada idea asal konsep ini berasaskan konvensyen di Britain tanpa mengabaikan rujukan penting amalan konsep ini di Australia dan Bangladesh. Kajian terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan juga dibuat bagi memahami tahap pelaksanaan konsep ini di Malaysia. Rujukan terhadap kes-kes mahkamah serta kes semasa yang berlaku akan dibuat bagi menilai sejauh manakah konsep ini diguna pakai dalam negara.

 

ASAS KONSEP KERAJAAN SEMENTARA

Sebelum kita melangkah jauh meneliti konsep kerajaan sementara, adalah lebih baik jika kita mengimbau terlebih dahulu beberapa prinsip asas yang melatari konsep itu:

Pertama: Setiap pilihan raya yang demokratik perlu menyediakan padang permainan yang sama rata (a level playing field) kepada semua parti politik yang bersaing. Sesuatu pilihan raya hanya boleh dianggap tulen jika ia benar-benar mampu menterjemahkan hasrat rakyat melalui peti undi. Dalam membuat pilihan rakyat perlu diberikan kebebasan untuk memilih tanpa disogok oleh pandangan yang berat sebelah dengan menafikan pihak lain untuk mengemukakan pandangannya.[i] Oleh itu ruang yang adil kepada semua parti yang bertanding adalah penting bagi menjamin ketulenan pilihan raya. Oleh yang demikian, setiap parti politik mesti mempunyai peluang dan ruang yang sama rata dalam menyampaikan maklumat dan penerangan kepada rakyat. Menggunakan jentera kerajaan untuk kempen atau menafikan hak parti lawan untuk mendapat kemudahan awam dalam kempen pilihan raya adalah antara contoh bentuk padang permainan tidak rata dalam persaingan demokrasi.

Kedua: Pengasingan antara parti dan kerajaan amat penting bagi mewujudkan peluang saksama dalam pilihan raya yang bebas dan adil. Hal ini diterima sebagai satu prinsip pilihan raya adil di peringkat antarabangsa.[ii] Bila sesebuah parti menang pilihan raya, kuasa untuk memerintah diberikan kepada individu yang dilantik mewakili parti itu, dan dia terikat untuk menggunakan kuasanya dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan undang-undang. Parti secara umumnya tiada hak untuk campur tangan dalam kuasa dan tugas kerajaan. Parti juga tiada keistimewaan khas untuk mempergunakan kemudahan awam atau sumber kewangan awam melainkan melalui saluran pentadbiran yang biasa dan telus. Peraturan ini berdiri atas prinsip bahawa kerajaan berkewajipan untuk melindungi kepentingan rakyat seluruhnya tanpa mengira latar belakang politik mereka. Walau pun terdapat banyak kekaburan dalam menentukan sempadan antara parti dan kerajaan, pada umumnya parti politik tidak mempunyai hak untuk memanipulasi dana awam untuk tujuan kepartian. Kewujudan agensi kerajaan yang berperanan untuk menguatkan pengaruh parti pemerintah juga satu amalan yang bermasalah. Ia bukan sahaja menyebabkan salah guna dana awam, bahkan ia mendatangkan kekusutan jika berlaku peralihan tampuk pemerintahan negara. Selain itu campur aduk antara kerajaan dan parti juga berlaku dalam bentuk-bentuk lain seperti penggunaan kuasa secara pilih kasih di pelbagai peringkat, penggunaan jentera pentadbiran tempatan untuk kempen kepartian,[iii] kerahan kakitangan kerajaan waktu kempen pilihan raya kecil dan tentunya pengabaian konsep kerajaan sementara.

Ketiga: Dalam sistem Westminster sesebuah kerajaan berdiri atas pertanggungjawaban yang wujud atas dua asas iaitu pertamanya kepada rakyat pembayar cukai, dan keduanya kepada Parlimen yang berhak mempersoalkan polisi dan tindakan kerajaan. Prinsip ‘responsible government’ ini penting bagi membolehkan Perdana Menteri dan pasukan kabinetnya sentiasa dinilai dan dipantau. Pertanggungjawaban kepada Parlimen timbul kerana kewujudan badan eksekutif itu sendiri adalah kerana adanya Parlimen. Hal ini wujud kerana Perdana Menteri dipilih dari kalangan yang mendapat sokongan terkuat di Dewan Rakyat.

Keempat: Dalam mana-mana sistem pilihan raya, soal kestabilan politik sesebuah negara merupakan perkiraan penting yang tidak boleh diketepikan. Perkiraan ini mendorong kepada perimbangan antara keperluan untuk menjamin kebebasan dan keadilan, dengan keperluan untuk mewujudkan atau mengekalkan keamanan dan kestabilan. Oleh yang demikian, tiada satu sistem yang sempurna. Kejayaan sebenar sesuatu sistem adalah terletak pada manusia yang mengawal serta menyertainya, bukan pada ‘kesempurnaan’ sistem itu sendiri.

 

KONSEP KERAJAAN SEMENTARA

Kerajaan sementara adalah kerajaan yang memerintah sesebuah negara dalam tempoh pilihan raya, iaitu biasanya bermula dari pembubaran parlimen hingga kepada penubuhan kerajaan baru. Dalam konteks yang lebih luas, istilah kerajaan sementara juga digunakan dalam situasi tertentu seperti ketika berlaku rampasan kuasa dan sebagainya. Walau bagaimana pun, untuk tujuan perbahasan di sini maksud kerajaan sementara hanya merujuk kepada kerajaan sementara dalam tempoh pilihan raya umum.

Tujuan kerajaan sementara ini adalah untuk mengurangkan risiko salah guna kuasa akibat ketiadaan Parlimen yang mampu melakukan peranan ‘semak dan imbang’ (atau check and balance). Selain itu ia juga berperanan untuk memastikan pemimpin kerajaan tidak menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen kepartian, serta mengekalkan badan pentadbiran kerajaan sebagai badan yang bebas dari campur tangan politik.

Menurut amalan tradisi (conventions) di negara-negara Komanwel yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, terdapat beberapa perkara yang mesti dielakkan oleh pemerintah dalam tempoh kerajaan sementara. Amalan tradisi ini diungkap secara bertulis dalam Guidance on Caretaker Conventions[iv] yang dikeluarkan oleh kerajaan Australia. Garis panduan berkenaan menggariskan tiga perkara besar yang perlu dielakkan iaitu:

  • Membuat dasar kerajaan yang boleh mengikat kerajaan yang akan ditubuhkan selepas pilihan raya.
  • Membuat pelantikan ke jawatan penting.
  • Membuat kontrak dan akujanji yang besar.

Selain itu, garis panduan itu juga menyenaraikan perkara-perkara yang berbentuk kempen, yang boleh menjejaskan sifat adil dan berkecuali bagi sesebuah kerajaan demokratik. Perkara-perkara tersebut termasuklah:

  • Pengiklanan dan kempen penerangan: Kempen yang menonjolkan peranan Perdana Menteri atau mana-mana menteri, serta iklan atau kempen penerangan yang berkaitan dengan slogan kepartian perlu dihentikan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
  • Internet dan komunikasi elektronik: Media Internet milik kerajaan hanya menyiarkan maklumat pentadbiran bukannya untuk menyokong mana-mana parti.
  • Penggunaan premis kerajaan: Parti kerajaan dan parti pembangkang diberikan ruang sama rata untuk menggunakan premis kerajaan bagi tujuan kempen, mengadakan sidang media dan seumpamanya. Lawatan menteri ke pejabat-pejabat agensi kerajaan hanya terhad untuk urusan rutin pentadbiran, bukan untuk tujuan politik.
  • Penglibatan politik: Anggota perkhidmatan awam tidak boleh menggunakan sumber milik kerajaan atau kedudukannya unduk menyokong isu tertentu atau parti tertentu sewaktu kempen pilihan raya.
  • Permintaan maklumat dari pejabat menteri: Pegawai kerajaan perlu mengelakkan dari memberikan maklumat yang hendak digunakan untuk kempen pilihan raya.

 

Garis panduan di atas merupakan rujukan yang baik untuk memahami amalan konvensyen perlembagaan atau constitutional coventions kerajaan sementara yang sepatutnya turut diguna pakai dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Pelaksanaan kerajaan sementara boleh dilakukan hanya dengan menguatkuasakan garis panduan, tanpa melibatkan pindaan kepada Perlembagaan. Walau bagaimana pun di Bangladesh, amalan kerajaan sementara dilaksanakan menggunakan asas yang lebih kuat iaitu dengan peruntukan Perlembagaan. Amalan kerajaan sementara di Bangladesh bermula seawal tahun 1990, dan kemudiannya diperkukuh dengan pindaan Perlembagaan bagi memasukkan peruntukan berkaitan dengannya pada tahun 1996.

Perlaksanaan kerajaan sementara di Bangladesh menimbulkan persoalan tentang keperluan berlaku penyerahan kuasa kepada pihak berkecuali dalam tempoh kerajaan sementara. Amalan kerajaan sementara di negara itu berjalan dengan begitu radikal bermula dari ia mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1990 sehingga ia dimansuhkan pada tahun 2011. Sistem tersebut menetapkan bahawa menjelang pilihan raya umum, kerajaan yang memerintah perlu menyerahkan kuasa kepada kerajaan sementara yang terdiri dari wakil dari badan kehakiman dan teknokrat. Kerajaan sementara berperanan untuk melaksanakan pilihan raya dan menyerahkan kuasa kepada parti yang menang dalam pilihan raya dalam tempoh 90 hari. Amalan ini berjalan lancar pada pilihan raya umum pada tahun 1996 dan 2001. Namun demikian, pada tahun 2006, kerajaan sementara yang disokong oleh tentera, menangguhkan pilihan raya sehingga tahun 2008. Perkembangan ini menjadi alasan kepada pemansuhan sistem kerajaan sementara di Bangladesh pada tahun 2011.[v]

 

AMALAN DI MALAYSIA

Walau pun tiada peruntukan jelas dalam perlembagaan, sebagai pengamal sistem demokrasi berparlimen, Malaysia sepatutnya turut mengamalkan konsep kerajaan sementara. Amalan ini berkuatkuasa melalui konvensyen perlembagaan (constitutional conventions) iaitu amalan tradisi politik yang merupakan salah satu bentuk rujukan perlembagaan negara.

Selain itu kerangka perlembagaan bertulis juga menggambarkan kuatkuasa amalan ini. Contohnya perlembagaan secara jelas menunjukkan pergantungan kedudukan badan eksekutif kepada kewujudan Parlimen.[vi]Perlembagaan juga menyebut tentang kebertanggungjawaban Kabinet kepada Parlimen,[vii] oleh itu, kuasa eksekutif ketika ketiadaan Parlimen sepatutnya dihadkan.

Prinsip hak persamaan[viii] dalam Perlembagaan juga perlu menjadi rujukan, kerana setiap parti yang bertanding sepatutnya mempunyai hak sama rata dalam peluang kempen pilihan raya. Tambahan pula mana-mana anggota Kabinet yang menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik dalam pilihan raya umum boleh didakwa di bawah undang-undang rasuah[ix]. Semua asas perundangan ini menyokong gagasan perlaksanaan kerajaan sementara di Malaysia.

Walau bagaimana pun, dari sudut amalan, konsep ini belum benar-benar terlaksana di Malaysia. Prinsip kerajaan sementara hanya akan berlaku jiwa wujud keinginan politik yang kuat oleh kerajaan yang memerintah. Perdana Menteri pertama YM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri secara sukarela sewaktu tempoh kempen PRU Pertama 1959 bermula dari 21 April hingga 7 Ogos 1959 untuk menumpukan kerja-kerja kempen pilihan raya.[x]

Walau pun tindakan ini satu langkah yang baik dan berani, ia tidak memberikan kesan yang signifikan kepada amalan kerajaan sementara di Malaysia. Bahkan dalam kesemua pilihan raya umum berikutnya ia tidak lagi menjadi amalan atau ikutan. Tambahan pula, dalam beberapa pendirian rasmi sebelum ini, pihak pemerintah kelihatan seperti menafikan perlaksanaan konsep kerajaan sementara di Malaysia.[xi]Lebih malang lagi prinsip-prinsip asas kerajaan sementara tidak dihormati sepanjang tempoh kempen dalam siri-siri pilihan raya umum di Malaysia sepanjang sejarah. Walau pun tuntutan pelaksanaan kerajaan sementara pernah dibawa ke mahkamah,[xii] namun ia tetap tidak mengubah sikap ini. Kes tersebut ditolak oleh mahkamah atas alasan teknikal.[xiii]

Namun demikian, perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa konsep ini semakin difahami dan desakan untuk menguatkuasakannya semakin kuat. Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), misalnya telah pun menyatakan kesediaan untuk mengemukakan garis panduan pelaksanaan kerajaan sementara untuk pilihan raya. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika memberikan hujah dalam salah satu Wacana Sinar Hariantelah menyebut bahawa pelaksanaan kerajaan sementara amat signifikan bagi mengelakkan salah guna aset kerajaan, termasuk penggunaan kenderaan rasmi kerajaan sewaktu tempoh kempen pilihan raya umum. Apa yang lebih signifikan ialah hasil dapatan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang mencadangkan perlaksanaan kerajaan sementara memberikan satu harapan baru agar konsep ini dilaksanakan di Malaysia.

 

PERANAN SPR

Selaku badan pengendali pilihan raya, SPR memainkan peranan yang paling strategik dalam menjayakan penguatkuasaan kerajaan sementara di Malaysia. Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang ditubuhkan oleh Parlimen telah menetapkan peranan SPR untuk menggerakkan pelaksanaannya. Laporan jawatankuasa itu menyebut:

 

  1. KERAJAAN SEMENTARA (CARETAKER GOVERNMENT)

6.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan diwujudkan kerajaan sementara selain kerajaan yang memerintah sebaik selepas Parlimen dibubarkan bertujuan bagi memastikan negara ditadbir sementara kerajaan yang baru dibentuk.

6.2. Jawatankuasa mengesyorkan SPR dalam tempoh 3 bulan dari tarikh laporan ini dibentangkan dapat menyediakan suatu garis panduan dan kod etika tatalaku (code of conduct) terpakai bagi mana-mana pihak yang kena menjalankan fungsi kerajaan sementara sehinggalah suatu kerajaan yang baru dibentuk di peringkat Persekutuan atau negeri.[xiv]

 

Garis panduan dan kod tatalaku yang dicadangkan itu seharusnya mampu memenuhi kehendak amalan konvensyen yang berkuatkuasa di negara-negara demokrasi berparlimen lain. Ia seharusnya mampu menangani salah guna jentera kerajaan untuk kempen pilihan raya, mewujudkan pengasingan yang jelas antara kerajaan dan parti dan juga menguatkan peranan SPR untuk mengawal agensi kerajaan dalam memastikan perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil.

Secara ringkasnya, garis panduan itu perlu mengandungi empat perkara pokok iaitu:

(a)        Sekatan ke atas kuasa badan eksekutif:

Sekatan atas kuasa eksekutif adalah penting kerana pembubaran parlimen menandakan berakhirnya kuasa eksekutif biasa kerajaan yang memerintah. Peranan mereka waktu itu hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hari kerajaan untuk hal ehwal hari. Oleh itu, Perdana Menteri dan ahli kabinet tidak harus dibenarkan untuk membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan suatu kerajaan yang baru , membuat pelantikan ke jawatan penting, atau membuat kontrak atau aku janji yang memberikan kesan besar.

(b)       Sekatan dalam penggunaan jentera kerajaan:

Elemen paling penting bagi kerajaan sementara bagi konteks Malaysia adalah untuk memastikan kerajaan tidak menyalahgunakan jentera untuk manfaat politik kepartian. Garis panduan mengenai kerajaan sementara di bawah elemen ini perlu mengambil kira pelbagai isu seperti penglibatan penjawat awam dalam tugas rasmi mereka yang boleh memberi kelebihan kepada para pemimpin parti pemerintah atau calon dari parti itu. Terdapat juga keperluan untuk menyekat apa-apa arahan kepada penjawat awam untuk menghadiri majlis rasmijika majlis itu bertujuan untuk mendapatkan sokongan politik. Selain itu garis panduan ini juga perlu memberikan perhatian khusussalah guna jentera kerajaan, termasuk kakitangan, peralatan jabatan,serta maklumat yang diperolehi oleh agensi perisikan seperti Unit Perisikan Tentera, Bahagian Keselamatan Negara atau Cawangan Khas. Garis panduan ini juga perlu mengehadkan kehadiran Menteri-menteri atau mana-mana pemimpin politik dalam perhimpunan khas bersama penjawat awam, termasuklah pasukan beruniform atau pelajar-pelajar universiti awam kerana ia mungkin menjejaskan kebebasan mereka dalam membuat pilihan.

(c)        Sekatan berkaitan dengan perbelanjaan kerajaan dan parti politik:

Di samping itu, garis panduan untuk kerajaan sementara juga perlu memasukkan unsur-unsur kewangan. Kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana kerajaan untuk iklan politik semasa tempoh berkempen. Ini termasuk mana-mana iklan papan iklan, poster, sepanduk, risalah, dan belon atau kolum khas atau ruang di akhbar, majalah, televisyen, radio atau media atas talian. Lebih penting lagi , perlu ada sekatan ke atas penggunaan kedudukan kuasa dalam kerajaan untuk menarik penaja politik untuk perbelanjaan pilihan raya. Kawalan ke atas penggunaan premis kerajaan sebagai pusat operasi, atau aset awam seperti kanopi dan khemah juga harus disertakan.

(d)       Hak sama rata dalam penggunaan media dan harta milik kerajaan:

Akhir sekali, garis panduan atau peraturan di dalam kerajaan sementara yang harus berurusan dengan aspek yang paling penting dalam pilihan raya itu sendiri iaitu keadilan atau kesaksamaan. Ia perlu menetapkan secara jelas hak sama rata untuk menggunakan premis milik kerajaan seperti stadium, sekolah, dewan pelbagai guna atau premis awam yang lain untuk operasi pihak semua parti yang terlibat atau aktiviti-aktiviti kempen mereka. Begitu juga, semua parti-parti politik perlu diberi ruang yang sama dan liputan yang adil dalam media awam. Elemen-elemen ini perlu menjadi sebahagian daripada peraturan di dalam kerajaan sementara di Malaysia bagi mengatasi ketidakadilan yang jelas dalam amalan semasa. Di samping itu, dalam tempoh ini, SPR seharusnya diberi peranan khas untuk memantau operasi jabatan kerajaan yang berkenaan untuk memastikan kesaksamaan dan keadilan dalam akses kepada kemudahan kerajaan dan media.

 

KESIMPULAN

Menjadi tanggungjawab SPR untuk menyediakan garis panduan perlaksanaan kerajaan sementara di Malaysia. Selain itu, dengan perlaksanaan konsep ini, SPR perlu lebih diperkuat dengan beberapa kuasa untuk mengawal perlaksanaannya. Memandangkan konsep ini sedia wujud berasaskan konvensyen perlembagaan, maka kuasa SPR untuk merangka dan menguatkuasakan konsep ini tidak memerlukan sebarang pindaan Perlembagaan atau akta baru. Ia termasuk di dalam bidang kuasa SPR yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan akta-akta yang sedia ada. Apa yang penting ialah kesungguhan dan keberanian SPR dalam memenuhi amanahnya dalam mengendalikan pilihan raya secara adil dan bebas, serta dalam memenuhi hasrat rakyat yang telah pun diungkap melalui beberapa siri tuntutan dan juga melalui hasil siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

 

 

 

RUJUKAN

Conference on Security and Co-operationin Europe. 1990. Document of the Copenhagen Meeting of the Conference on the Human Dimension: 29 June 1990: 29 I.L.M. 1305. CSSE: Copenhagen.

 

Department of the Prime Minister and Cabinet. 2013. Guidance on Caretaker Conventions. Australian Government (DPMC): Australia.

 

United Nation (Treaty Series). 1966. International Covenanton Civil and Political Rights (ICCPR) Adopted 16 December 1966, UNGA Res 2200A (XXI). United Nations (OHCHR): Geneva.

 

Parlimen Malaysia. 2012. Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Dewan Rakyat Yang Keduabelas (Penggal Kelima) DR. 1 TAHUN 2012. Parlimen: Kuala Lumpur.

 

Malaysian Department of Information. 1963. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj: Prime Minister, Federation of Malaya on the occasion of his 60th birthday. Percetakan Negara: Kuala Lumpur.

 

Kerajaan Malaysia. 1957. Perlembagaan Persekutuan. Percetakan Negara: Kuala Lumpur.

 

The Inter-Parliamentary Union, Inter-Parliamentary Council (154thsession). 1994. Declarationon Criteria for Free and Fair Elections (Paris, 26 March 1994). IPU: Geneva.

 

The Star Online (February 5, 2008). 2008., “Kit Siang files for caretaker government,” Retrieved from http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/2/5/nation/20235378&sec=nation (accessed on 27 November 2016)

 

 

United Nations Centre For Human Rights. 1994. Professional Training Series No.2 Human Rights and Elections: A handbook on the Legal, Technical and Human Rights Aspects of Elections. UNdoc HR/P/PT/2 (1994). UNCHR: Geneva.

 

Utusan Malaysia Online. 2013. “TPM minta JKKK usaha keras pertahan kerajaan BN”, Retrieved from http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130316/po_10/TPM-minta-JKKK-usaha-keras-pertahan-kerajaan-BN (accessed on 22 November 2016)

 

 

[i]Article 25 ofInternationalCovenantonCivilandPolitical Rights (ICCPR)Adopted 16 December 1966, UNGA Res 2200A (XXI)

[ii]   Lihat contohnya United Nations CentreForHuman Rights, Professional Training Series No.2 Human Rights and Elections: AHandbookontheLegal, TechnicalandHuman Rights Aspects of Elections. UNdoc HR/P/PT/2 (1994); The Inter-Parliamentary Union, Inter-Parliamentary Council (154thsession). Declarationon Criteria for Free and Fair Elections (Paris, 26 March 1994); Conference on Security and Co-operationin Europe, Document of the Copenhagen Meeting of the Conference on the Human Dimension: 29 June 1990: 29 I.L.M. 1305 (1990)

[iii] Lihat contohnya laporan “TPM minta JKKK usaha keras pertahan kerajaan BN”, Utusan Malaysia Online, http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130316/po_10/TPM-minta-JKKK-usaha-keras-pertahan-kerajaan-BN

[iv] Department of the Prime Minister and Cabinet (Australian Government), Guidance on Caretaker Conventions (2013)

[v]BBC News, “Bangladesh ends caretaker government arrangement”, 30th June 2011, http://www.bbc.co.uk/news/world-south-asia-13973576

[vi] Lihat Perkara 43, 43A and 43B

[vii] Lihat Perkara 43 (3)

[viii] Lihat Perkara 8

[ix] Lihat misalnya Seksyen 16Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694)

[x] Lihat Malaysian Department of Information (1963), Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj : Prime Minister, Federation of Malaya on the occasion of his 60th birthday.

[xi] Lihat surat bertarikh 17 Januari 2008, yang ditulis oleh Datuk Kamaruzaman bin Mohd Noor, Setiausaha SPR kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang, isi kandungan surat itu dipetik oleh Lim Kit Siang, dalam artikel bertajuk EC violates National Integrity Plan in rejecting “caretaker government” concept, < blog.limkitsiang.com/wp-content/plugins/as-pdf/generate.php?post=94>.

[xii] Ketua Pembangkang waktu itu, Lim Kit Siang telah memfailkan saman terhadap SPR dan kerajaan untuk meminta arahan mahkamah bagi perlaksanaan kerajaan sementara selepas Parlimen dibubarkan. Lihat The Star Online, February 5, 2008, “Kit Siang files for caretaker government,” <http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/2/5/nation/20235378&sec=nation>

[xiii] Lihat The Star Online, 7 May, 2008, “High Court strikes out Kit Siang’s suit,” <http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/5/7/courts/21173304&sec=courts>

[xiv]Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Dewan Rakyat Yang Keduabelas (Penggal Kelima) DR. 1 TAHUN 2012. halaman 61.